Sabtu, 04 Februari 2012

Inspirasi tujuh hero (SM*SH)


SMASH terdiri daripada (dari kiri) Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma.
NAMA SMASH merupakan singkatan daripada ‘Seven Men As Seven Heroes’. ‘Heroes’ merupakan pendekatan yang digunakan grup dari Indonesia ini bagi memberi inspirasi kepada anak muda supaya berfikiran positif.
SMASH terdiri daripada tujuh anak remaja iaitu Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma.
Menjadikan grup-grup Korea sebagai sumber ilham, perencah itu terlihat jelas dalam lagu-lagu album perdana mereka ini. Malah, imej yang dibawa mereka juga berkiblatkan Korea.
Mereka mempertaruhkan lagu di trek keempat sebagai single perdana mereka iaitu I Heart You. Lagu ini ditulis oleh Bunny, Decil, Sogi dan Henri.
Susunan muzik dan liriknya sangat ringkas dan berterus terang. Hanya anak remaja yang dapat mencerna lagu sebegini untuk sebuah pernyataan cinta.
Secara purata, album SMASH ini ringan, malah sangat ringan. Mungkin itu jiwa dan pembawaan anak muda ini.
Satu hal yang patut dipuji adalah keteguhan mereka membawakan lagu-lagu dance mahupun elektro dalam bahasa ibunda mereka. Rapping hanya sedikit dimasukkan bahasa Inggeris dan selebihnya adalah bahasa Indonesia.
SMASH juga membawakan lagu Inikah Cinta yang ditulis oleh Denny Saba yang sebelum ini dinyanyikan Sheila Majid.
Terdapat dua buah lagu hasil sentuhan komposer Malaysia iaitu Audi Mok untuk lagu Aah dan Akhiri Saja. Lagu pembuka album ini iaitu Senyum Semangat juga ditulis oleh komposer Malaysia iaitu Kimberly Chin.
Tiada apa lagi yang boleh dikatakan untuk sebuah grup yang mempunyai vokal yang sederhana dan lagu-lagu yang santai. Namun, balutan harmoni mereka wajar diberi pujian dan peluang untuk berada dalam industri.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar