Sabtu, 04 Februari 2012

SM*SH cuba nasib di Malaysia


SEKALI pandang wajah anak-anak muda ini persis bintang Korea. Namun hakikatnya kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Seven Men As Seven Heroes atau Smash ini sebenarnya lahir dari bumi Indonesia.
Ditubuhkan pada April 2010, sememangnya kehadiran Smash memeriahkan lagi industri muzik di negara itu.
Tidak mahu ketinggalan mencuba nasib di Malaysia seperti kebanyakan artis Indonesia yang lain, Smash juga mahu nama mereka serasi bersama peminat di negara ini.
Dianggotai Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma, kumpulan yang membawa imej K-Pop itu optimis mampu melakar nama di sini.
Malah, mereka juga merancang mengadakan persembahan di Malaysia pada pertengahan Mac nanti.
Hadir bersama single I Heart You yang sering mendapat tempat di corong radio tanah air, Smash optimis tema cinta yang dibawakan oleh mereka mampu menarik minat pendengar di Malaysia.
Menurut wakil kumpulan tersebut, Morgan, mereka sememangnya mengharapkan kehadiran mereka di Malaysia disambut baik peminat.
“Bagi kami, melalui penyampaian lirik yang ringan serta lagu yang mudah difahami, tidak mustahil ia diterima oleh segenap lapisan masyarakat.
“Malah kewujudan kumpulan kami juga bertujuan untuk sama-sama mengajak golongan belia terutamanya agar berfikiran positif dalam setiap perkara.
“Dalam masa yang sama juga, melalui muzik, kita juga dapat bersatu kerana sifat muzik itu sendiri adalah universal dan boleh diterima pelbagai kaum tanpa mengira bahasa,” jelasnya pada sesi temuramah telefon baru-baru ini.
Selain itu, tambah Morgan, kumpulan yang turut muncul dalam drama bersiri Cinta Cenat Cenut yang disiarkan di Indonesia itu juga sebenarnya turut mempunyai peminatnya sendiri yang digelar SmashBlast.
“Sambutan SmashBlast di Malaysia juga tidak kurang hebatnya dan kami sangat berharap dapat berjumpa mereka ketika membuat persembahan nanti.
“Kami semestinya akan memberikan persembahan yang terbaik sebagai tanda penghargaan kami kepada mereka,” ujarnya.
Selain lagu I Heart You, Smash juga menghasilkan single Senyum Semangat, Akhiri Saja, Gadisku, Selalu Bersama, Ahh, Oh Ya, Inikah Cinta dan Ada Cinta.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar